Loading...
Custom Slideshows.

Rabu, 7 Mei 2014

8 Perkara Haram Dalam Perniagaan



Walaupun Islam menggalakkan kita berniaga, tidak bermakna kita bebas untuk melakukan sebarang perniagaan dengan tatacara kita sendiri dan semestinya ada prasyarat yang mesti dituruti. Islam telah mengharamkan beberapa perkara dalam aktiviti perniagaan untuk menjamin kemaslahatan manusia terjamin dan terpelihara. Antara yang dilarang dan diharamkan dalam perniagaan adalah seperti berikut :

1. Rasuah
Rasuah merupakan salah satu dosa besar dalam Islam. Ia kerap berlaku dalam pelbagai bidang termasuklah dalam perniagaan. Sehinggakan ada yang berpendapat bahawa rasuah atau duit under-table ini adalah satu kemestian untuk perniagaan mereka. Mereka beranggapan dengan adanya rasuah dapat membantu mereka mendapatkan projek dan peluang perniagaan yang lebih luas dan memudahkan perjalanan projek mereka.
Ada juga di antara mereka yang berselindung dengan menukarkan istilah rasuah itu dengan kata-kata lain seperti sedekah, hadiah, pertolongan, bantuan dan seumpamanya. Rasuah itu sangat jauh bezanya dengan sedekah dan hadiah. Rasuah adalah pemberian yang dibuat bertujuan untuk mendapatkan sesuatu dengan cara yang salah atau bukan dengan cara yang sebenar. Sedekah pula adalah pemberian yang dibuat dengan tujuan mendapatkan balasan pahala dari Allah SWT semata-mata, sedangkan hadiah pula adalah pemberian yang dibuat dengan tujuan mempereratkan lagi ikatan silaturahim dan kasih sayang.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Dari Abdullah bin Amru katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda Allah SWT melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.”
Gejala rasuah dalam menjalankan aktiviti perniagaan adalah dilarang sama sekali dalam Islam dan merupakan perbuatan haram lagi tercela. Sebagai peniaga yang beriman, perbuatan terkutuk ini hendaklah dihindari agar keberkatan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat dapat dikecapi oleh semua.

2. Riba
Riba juga merupakan perkara yang diharamkan dalam Islam. Mereka yang menyatakan riba itu halal akan menjadi kufur dan terkeluar dari Islam, kerana riba adalah salah satu dari dosa besar yang wajib dielakkan oleh seorang muslim yang disebutkan secara jelas dalam al-Quran dan sunnah tentang pengharamannya. Riba yang dimaksudkan ialah sebarang tambahan dalam barangan tertentu dan tambahan di atas hutang akibat penangguhan tempoh

Di dalam surah al-Baqarah, ayat 278 dirakamkan bahawa Allah dan Rasul memerangi pemakan riba. Firman Allah, mafhumnya: “Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan Rasul-Nya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.” (Surah al-Baqarah: 278).

Dalam menjalankan aktiviti perniagaan, amalan riba mestilah dielakkan sepenuhnya. Peniaga yang baik dan diredhai Allah SWT ialah peniaga yang mampu berniaga dengan berpandukan peruntukan syarak, bebas dari sebarang bentuk riba sama ada dalam mendapatkan modal, membuat simpanan, membuat pelaburan dan seumpama dengannya.

3. Menipu untuk melariskan jualan.
Pelbagai cara dan strategi dibuat dengan tujuan melariskan barang jualan oleh kerana keghairahan untuk menarik pelanggan. Islam sangat melarang sebarang bentuk penipuan dalam perniagaan. Menipu ialah melakukan suatu helah untuk kepentingan diri sendiri dan memudaratkan orang lain. Terdapat pelbagai bentuk penipuan yang berlaku dalam perniagaan seperti menjual barangan tiruan pada harga yang mahal, menipu pelanggan dengan iklan-iklan yang palsu, memalsukan tandatangan dan macam-macam penipuan lagi yang banyak berlaku. Ada juga yang sanggup bersumpah dengan menggunakan nama Allah bertujuan untuk melariskan barangan jualan tiruan mereka dengan menyatakan bahawa barangan tersebut bukan tiruan malah ianya adalah asli.

“Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. telah melalui setimbunan makanan (yang dijual) seraya memasukkan tangannya ke dalam timbunan makanan tersebut dan mendapati jari-jemarinya basah. Rasulullah s.a.w. bersabda, apakah semua ini wahai pemilik makanan? Lelaki itu menjawab; makanan ini telah ditimpa hujan wahai Rasulullah s.a.w.  Seraya Rasulullah bersabda: Kenapa tidak kamu jadikan yang basah itu di sebelah atas makanan agar manusia dapat melihatnya, barang siapa yang menipu maka ia bukan dari agamaku (yang sempurna).”

Berpandukan kepada hadis ini, kita sebagai peniaga yang beriman dan berpegang teguh kepada ajaran Islam, hendaklah mengelakkan diri daripada sebarang bentuk penipuan dalam keghairahan melariskan barangan jualan dan mendapat keuntungan daripadanya.

4. Mengambil harta dan memeras ugut dengan cara yang batil
Islam juga mengharamkan perbuatan memeras ugut serta tindakan mengambil harta orang lain dengan cara yang batil (salah). Mengambil harta orang lain dengan cara yang batil dan salah ini boleh berlaku dalam pelbagai cara dan bentuk seumpama mencuri, merompak, menipu, memperdaya, judi dan seumpamanya. Sekiranya seseorang berkeinginan kepada barangan dan sesuatu yang berharga pada milikan orang lain, maka ia boleh mendapatkannya melalui jalan perniagaan yang bebas dari sebarang unsur yang dianggap sebagai cara yang salah dan batil.

Pengharaman perbuatan seumpama ini, jelas disebutkan dalam surah An-Nisaa’ ayat 29 mafhumnya:
“(Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu).”

Ibnu Kathir dalam menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa  Allah SWT melarang hambanya yang beriman dari memakan harta sesama mereka dengan cara yang batil iaitu dengan pelbagai perbuatan yang tidak syarie seumpama riba, judi dan seumpama dengannya dari pelbagai jenis helah yang menjuruskan kepada riba (Ibn Kathir, Ismail bin Umar bin Kathir al-Qurasyi al-Dimashqi, Tafsir al-Quran al-azim, Dar Thibah Lil Nashr wa al-Taizi’, 1999/1420H, jld.2, hlm.268).


5. Larangan membeli barang yang dirampas tanpa hak, dicuri atau diragut
Sememangnya Islam sangat menggalakkan sebarang bentuk aktiviti perniagaan. Namun demikian, Islam melarang sama sekali sebarang bentuk transaksi jual beli yang melibatkan barangan curi, ragut dan seumpamanya.
Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya: Diriwayatkan Abi Hurairah, dari Rasulullah s.a.w. bahawa baginda bersabda: “Barang siapa membeli barangan curi, sedang ia mengetahui barang itu adalah dicuri, maka ia telah berkongsi sama (dengan pencuri) pada aib dan dosanya.”

Masalah ini adalah sama dengan keadaan orang yang menjual anggur kepada pembuat arak, atau menjual senjata kepada orang yang ia tahu akan menggunakannya untuk memudaratkan orang Islam. Jual beli dalan situasi seumpama ini adalah haram kerana ianya seumpama menolong ke arah berbuat dosa sekaligus membawa kepada kerosakan akhlak dan membantu kepada tersebar luasnya perkara yang keji dan hina seumpama fitnah dan sebagainya.

6. Memonopoli barangan (ihtikar).
Memonopoli barangan keperluan awam juga adalah salah satu perbuatan yang dilarang dalam Islam. Monopoli barangan keperluan sepeti beras, minyak, gula dan seumpamanya, biasanya dibuat oleh para peniaga agar barangan keperluan berkurangan di pasaran dan hasilnya harga barangan tersebut dapat dinaikkan dan boleh dijual dengan lebih mahal. Dengan cara  itu, perniaga akan mendapat keuntungan yang lebih banyak dan berlipat kali ganda. Perbuatan yang terkutuk ini adalah dilarang sama sekali dalam Islam kerana ia menyebabkan kemudaratan dan kesulitan kepada masyarakat awam, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dan golongan miskin.

Dalam satu hadis Rasullah s.a.w. bersabda;
Maksudnya: Dari Ma’mar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda; “Barang siapa memonopoli barangan (ihtikar) maka ia telah melakukan kesalahan. Yakni ia telah tersasar jauh dari perkara yang sebenar dan keadilan.
Hikmah perbuatan monopoli ini diharamkan adalah bagi menolak kemudaratan atau kesulitan terhadap masyarakat umum.

7. Haram menjual najis.
Telah berlaku Ijma’ di kalangan fuqaha tentang haramnya sebarang bentuk perniagaan barangan yang najis pada zatnya seperti babi, anjing, bangkai, dan seumpamanya. Islam mengharamkan sebarang bentuk perniagaan barangan najis ini kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan dan kerosakan di muka bumi.
Dari Jabir bin Abdullah katanya, ia telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda pada tahun pembukaan kota Mekah, sesungguhnya Allah SWT dan Rasul-Nya telah mengharamkan jual beli babi, bangkai, arak dan patung berhala.

8. Larangan mengurangkan kadar timbangan dan sukatan.
Islam menuntut para peniaga untuk bersikap amanah dan tidak mengaburi mata pelanggan dengan pelbagai cara tipu helah seperti, mengurangkan kadar timbangan dan sukatan. Perbuatan ini adalah dilarang dan sangat tercela dalam Islam.

Bagi menunjukkan hina dan tercelanya perbuatan menipu dalam sukatan dan timbangan ini,  Allah SWT telah menemplak peniaga yang berbuat demikian di dalam surah Al-Mutaffifin 1-3, mafhumnya:
Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.
Terdapat banyak ayat yang memerintah kita supaya sukatan dan timbangan disempurnakan dalam perniagaan. Antaranya firman Allah dalam surah Al-Isra’ ayat 35, mafhumnya:
dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan timbangan yang adil. Yang demikian itu baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik baik kesudahan (yang mendatangkan pahala di akhirat kelak).
Dalam surah al-Isra’ tersebut, Allah SWT turut menjanjikan kesan dan kesudahan yang baik di dunia dan di akhirat bagi mereka yang berbuat demikian. Namun begitu, wajar diingatkan bahawa sekiranya perintah dan suruhan ini tidak diendahkan, ia boleh menyebabkan turunnya bala dan azab dari Allah SWT, sebagaimana berlakunya terhadap penduduk Madyan, kaum nabi Syuib.

Demikianlah antara perkara-perkara yang diharamkan dalam aktiviti perniagaan. Kesemua tegahan dan larangan yang disebutkan di atas cukup mencerminkan kesempurnaan syariat Islam. Semua perkara yang diharamkan ini adalah perkara yang boleh mendatangkan mudarat dan kesulitan kepada manusia. Sekiranya semua manusia bepegang teguh dengan ajaran dan panduan Islam, nescaya semua akan mendapat rahmat Allah SWT dan kesejahteraan di dunia dan akhirat.

~WALLAHUALAM~

Tiada ulasan: