Walaupun Islam menggalakkan kita berniaga, tidak bermakna kita bebas
untuk melakukan sebarang perniagaan dengan tatacara kita sendiri dan
semestinya ada prasyarat yang mesti dituruti. Islam telah mengharamkan
beberapa perkara dalam aktiviti perniagaan untuk menjamin kemaslahatan
manusia terjamin dan terpelihara. Antara yang dilarang dan diharamkan
dalam perniagaan adalah seperti berikut :
1. Rasuah
Rasuah merupakan salah satu dosa besar dalam Islam. Ia kerap berlaku
dalam pelbagai bidang termasuklah dalam perniagaan. Sehinggakan ada yang
berpendapat bahawa rasuah atau duit under-table ini
adalah satu kemestian untuk perniagaan mereka. Mereka beranggapan dengan
adanya rasuah dapat membantu mereka mendapatkan projek dan peluang
perniagaan yang lebih luas dan memudahkan perjalanan projek mereka.
Ada juga di antara mereka yang berselindung dengan menukarkan istilah
rasuah itu dengan kata-kata lain seperti sedekah, hadiah, pertolongan,
bantuan dan seumpamanya. Rasuah itu sangat jauh bezanya dengan sedekah
dan hadiah. Rasuah adalah pemberian yang dibuat bertujuan untuk
mendapatkan sesuatu dengan cara yang salah atau bukan dengan cara yang
sebenar. Sedekah pula adalah pemberian yang dibuat dengan tujuan
mendapatkan balasan pahala dari Allah SWT semata-mata, sedangkan hadiah
pula adalah pemberian yang dibuat dengan tujuan mempereratkan lagi
ikatan silaturahim dan kasih sayang.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Dari Abdullah bin Amru katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda Allah SWT melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.”
Gejala rasuah dalam menjalankan aktiviti perniagaan adalah dilarang
sama sekali dalam Islam dan merupakan perbuatan haram lagi tercela.
Sebagai peniaga yang beriman, perbuatan terkutuk ini hendaklah dihindari
agar keberkatan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat dapat dikecapi
oleh semua.
2. Riba
Riba juga merupakan perkara yang diharamkan dalam Islam. Mereka yang
menyatakan riba itu halal akan menjadi kufur dan terkeluar dari Islam,
kerana riba adalah salah satu dari dosa besar yang wajib dielakkan oleh
seorang muslim yang disebutkan secara jelas dalam al-Quran dan sunnah
tentang pengharamannya. Riba yang dimaksudkan ialah sebarang tambahan
dalam barangan tertentu dan tambahan di atas hutang akibat penangguhan
tempoh
Di dalam surah al-Baqarah, ayat 278 dirakamkan bahawa Allah dan Rasul memerangi pemakan riba. Firman Allah, mafhumnya: “Wahai
orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dan
tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada
orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman.
Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan
riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan
Rasul-Nya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu
bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu.
(dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu
juga tidak dizalimi oleh sesiapa.” (Surah al-Baqarah: 278).
Dalam menjalankan aktiviti perniagaan, amalan riba mestilah dielakkan
sepenuhnya. Peniaga yang baik dan diredhai Allah SWT ialah peniaga yang
mampu berniaga dengan berpandukan peruntukan syarak, bebas dari
sebarang bentuk riba sama ada dalam mendapatkan modal, membuat simpanan,
membuat pelaburan dan seumpama dengannya.
3. Menipu untuk melariskan jualan.
Pelbagai cara dan strategi dibuat dengan tujuan melariskan barang
jualan oleh kerana keghairahan untuk menarik pelanggan. Islam sangat
melarang sebarang bentuk penipuan dalam perniagaan. Menipu ialah
melakukan suatu helah untuk kepentingan diri sendiri dan memudaratkan
orang lain. Terdapat pelbagai bentuk penipuan yang berlaku dalam
perniagaan seperti menjual barangan tiruan pada harga yang mahal, menipu
pelanggan dengan iklan-iklan yang palsu, memalsukan tandatangan dan
macam-macam penipuan lagi yang banyak berlaku. Ada juga yang sanggup
bersumpah dengan menggunakan nama Allah bertujuan untuk melariskan
barangan jualan tiruan mereka dengan menyatakan bahawa barangan tersebut
bukan tiruan malah ianya adalah asli.
“Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. telah
melalui setimbunan makanan (yang dijual) seraya memasukkan tangannya ke
dalam timbunan makanan tersebut dan mendapati jari-jemarinya basah.
Rasulullah s.a.w. bersabda, apakah semua ini wahai pemilik makanan?
Lelaki itu menjawab; makanan ini telah ditimpa hujan wahai Rasulullah
s.a.w. Seraya Rasulullah bersabda: Kenapa tidak kamu jadikan yang basah
itu di sebelah atas makanan agar manusia dapat melihatnya, barang siapa
yang menipu maka ia bukan dari agamaku (yang sempurna).”
Berpandukan kepada hadis ini, kita sebagai peniaga yang beriman dan
berpegang teguh kepada ajaran Islam, hendaklah mengelakkan diri daripada
sebarang bentuk penipuan dalam keghairahan melariskan barangan jualan
dan mendapat keuntungan daripadanya.
4. Mengambil harta dan memeras ugut dengan cara yang batil
Islam juga mengharamkan perbuatan memeras ugut serta tindakan
mengambil harta orang lain dengan cara yang batil (salah). Mengambil
harta orang lain dengan cara yang batil dan salah ini boleh berlaku
dalam pelbagai cara dan bentuk seumpama mencuri, merompak, menipu,
memperdaya, judi dan seumpamanya. Sekiranya seseorang berkeinginan
kepada barangan dan sesuatu yang berharga pada milikan orang lain, maka
ia boleh mendapatkannya melalui jalan perniagaan yang bebas dari
sebarang unsur yang dianggap sebagai cara yang salah dan batil.
Pengharaman perbuatan seumpama ini, jelas disebutkan dalam surah An-Nisaa’ ayat 29 mafhumnya:
“(Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan)
harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan
sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka
sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama
sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu).”
Ibnu Kathir dalam menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa Allah SWT
melarang hambanya yang beriman dari memakan harta sesama mereka dengan
cara yang batil iaitu dengan pelbagai perbuatan yang tidak syarie
seumpama riba, judi dan seumpama dengannya dari pelbagai jenis helah
yang menjuruskan kepada riba (Ibn Kathir, Ismail bin Umar bin Kathir
al-Qurasyi al-Dimashqi, Tafsir al-Quran al-azim, Dar Thibah Lil Nashr wa
al-Taizi’, 1999/1420H, jld.2, hlm.268).
5. Larangan membeli barang yang dirampas tanpa hak, dicuri atau diragut
Sememangnya Islam sangat menggalakkan sebarang bentuk aktiviti
perniagaan. Namun demikian, Islam melarang sama sekali sebarang bentuk
transaksi jual beli yang melibatkan barangan curi, ragut dan
seumpamanya.
Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya: Diriwayatkan Abi Hurairah, dari Rasulullah s.a.w.
bahawa baginda bersabda: “Barang siapa membeli barangan curi, sedang ia
mengetahui barang itu adalah dicuri, maka ia telah berkongsi sama
(dengan pencuri) pada aib dan dosanya.”
Masalah ini adalah sama dengan keadaan orang yang menjual anggur
kepada pembuat arak, atau menjual senjata kepada orang yang ia tahu akan
menggunakannya untuk memudaratkan orang Islam. Jual beli dalan situasi
seumpama ini adalah haram kerana ianya seumpama menolong ke arah berbuat
dosa sekaligus membawa kepada kerosakan akhlak dan membantu kepada
tersebar luasnya perkara yang keji dan hina seumpama fitnah dan
sebagainya.
6. Memonopoli barangan (ihtikar).
Memonopoli barangan keperluan awam juga adalah salah satu perbuatan
yang dilarang dalam Islam. Monopoli barangan keperluan sepeti beras,
minyak, gula dan seumpamanya, biasanya dibuat oleh para peniaga agar
barangan keperluan berkurangan di pasaran dan hasilnya harga barangan
tersebut dapat dinaikkan dan boleh dijual dengan lebih mahal. Dengan
cara itu, perniaga akan mendapat keuntungan yang lebih banyak dan
berlipat kali ganda. Perbuatan yang terkutuk ini adalah dilarang sama
sekali dalam Islam kerana ia menyebabkan kemudaratan dan kesulitan
kepada masyarakat awam, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dan
golongan miskin.
Dalam satu hadis Rasullah s.a.w. bersabda;
Maksudnya: Dari Ma’mar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda; “Barang
siapa memonopoli barangan (ihtikar) maka ia telah melakukan kesalahan.
Yakni ia telah tersasar jauh dari perkara yang sebenar dan keadilan.
Hikmah perbuatan monopoli ini diharamkan adalah bagi menolak kemudaratan atau kesulitan terhadap masyarakat umum.
7. Haram menjual najis.
Telah berlaku Ijma’ di kalangan fuqaha tentang haramnya sebarang
bentuk perniagaan barangan yang najis pada zatnya seperti babi, anjing,
bangkai, dan seumpamanya. Islam mengharamkan sebarang bentuk perniagaan
barangan najis ini kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan dan
kerosakan di muka bumi.
Dari Jabir bin Abdullah katanya, ia telah mendengar Rasulullah
s.a.w. bersabda pada tahun pembukaan kota Mekah, sesungguhnya Allah SWT
dan Rasul-Nya telah mengharamkan jual beli babi, bangkai, arak dan
patung berhala.
8. Larangan mengurangkan kadar timbangan dan sukatan.
Islam menuntut para peniaga untuk bersikap amanah dan tidak mengaburi
mata pelanggan dengan pelbagai cara tipu helah seperti, mengurangkan
kadar timbangan dan sukatan. Perbuatan ini adalah dilarang dan sangat
tercela dalam Islam.
Bagi menunjukkan hina dan tercelanya perbuatan
menipu dalam sukatan dan timbangan ini, Allah SWT telah menemplak
peniaga yang berbuat demikian di dalam surah Al-Mutaffifin 1-3,
mafhumnya:
Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan
sukatan), Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak)
dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, dan (sebaliknya)
apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.
Terdapat banyak ayat yang memerintah kita supaya sukatan dan
timbangan disempurnakan dalam perniagaan. Antaranya firman Allah dalam
surah Al-Isra’ ayat 35, mafhumnya:
dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah
dengan timbangan yang adil. Yang demikian itu baik (kesannya bagi kamu
di dunia) dan sebaik baik kesudahan (yang mendatangkan pahala di akhirat
kelak).
Dalam surah al-Isra’ tersebut, Allah SWT turut menjanjikan kesan dan
kesudahan yang baik di dunia dan di akhirat bagi mereka yang berbuat
demikian. Namun begitu, wajar diingatkan bahawa sekiranya perintah dan
suruhan ini tidak diendahkan, ia boleh menyebabkan turunnya bala dan
azab dari Allah SWT, sebagaimana berlakunya terhadap penduduk Madyan,
kaum nabi Syuib.
Demikianlah antara perkara-perkara yang diharamkan dalam aktiviti
perniagaan. Kesemua tegahan dan larangan yang disebutkan di atas cukup
mencerminkan kesempurnaan syariat Islam. Semua perkara yang diharamkan
ini adalah perkara yang boleh mendatangkan mudarat dan kesulitan kepada
manusia. Sekiranya semua manusia bepegang teguh dengan ajaran dan
panduan Islam, nescaya semua akan mendapat rahmat Allah SWT dan
kesejahteraan di dunia dan akhirat.
~WALLAHUALAM~